Kelaparan Yang Menghiris Hati

Kelaparan Yang Menghiris Hati

https://www.nst.com.my/news/nation/2021/01/657939/desperation-drives-jb-homeless-depend-handouts-public?fbclid=IwAR1y7O4z-Z2RNxQ285rL-mWC1Uxe9sJJutYBZMeX0JZCFM6N57ttsWSDRWM

Assalamu ‘Alaikum,

Setakat kekayaan sebuah negara tak cukup ; yang lebih penting ialah pembahagian kekayaan yang saksama. Apabila kita bicara tentang pembahagian harta dalam negara Islam kita terus bincang adanya instrumen zakat, infaq, sedeqah dan sebagainya. Beribu ribu muka surat tesis telah ditulis berkenaan zakat, infaq, sedeqah dan seumpamanya.

Yang jarang sekali dibincang ialah ciri ciri sistem ekonomi yang sedang beroperasi dinegara Islam sekarang. Kita sudah terlalu lali dengan ‘status quo’ tidak timbul keinginan atau keperluan untuk bincang dan timbang ciri ciri sistem ekonomi yang sedang diamalkan. Malah disifatkan hanya terroris yang akan bincang keabsahan sistem ekonomi yang diamal sekarang.

AlQuran menuntut kita bertanya, adakah sistem yang kita amal sekarang menepati sebuah sistem yang terhasil dari AlQuran dan Sunnah? Pendek kata adakah sistem ini terbina dari ‘world view’ atau pandangan alam AlQuran dan Sunnah? Ini perkara besar dan tidak boleh diremehkan oleh sesiapa pun. Sebab kalau kita tidak soal maka berlakulah apa yang sedang berlaku diJohor Baru saperti disebut dalam artikel diatas. Johor ialah sebuah negeri yang kaya dengan KDNK sebanyak RM140 billion yang merupakan negeri nombor empat terkaya diMalaysia. Oleh yang demikian mengapa boleh berlaku kelaparan yang sangat menghiris hati saperti tercatit dalam artikel tersebut?

Inilah angkara sebuah sistem ekonomi yang tidak berpaksi kepada nilai2 dan tuntutan2 Islam. Sebuah Ekonomi Islam tidak akan dikemudi oleh hutang ; ekonomi Islam yang bersanad dari zaman Rasulullah saw akan dikemudi oleh ekuiti. Apa kelebihan ekonomi yang berkemudi ekuiti?

Didalam ekonomi ekuiti tidak berlakulah amalan yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin. Orang yang kaya tidak dijamin kekayaan sebagaimana ekonomi yang dikemudi hutang, dimana pemilkkan harta sudah cukup untuk menjamin pengekalan kekayaan.

Didalam ekonomi ekuiti, orang kaya menghadapi risiko untung rugi. Dan ini sangat sesuai dengan Qaidhhah Fiqhiyyah Muamalat, AlGhunm bi AlGhurm, laba bersama risiko, yakni orang Islam tidak layak menerima untung melainkan sanggup menghadapi risiko.

Dizaman sekarang kebencian/kejijikkan orang Islam terhadap risiko membuak-buak. Tahukah mereka ini sebenarnya rukun Yahudi yang sangat bertentangan Qaiddhah Fiqhiyyah Islam.

Ini bukan bermakna tiada pengurusan risiko dalam Islam. Pengurusan risiko harus ditumpu kepada transaksi ekuiti. Bukan pengurusan risiko yang mengagung pembiayaan hutang dan membenci pembiayaan ekuiti. Harus disoal juga tahap kegelojohan pembiayaan hutang yang diamal sekarang ; adakah ia masih Islamik atau kita sedang meniti dipinggir riba?

Ini adalah antara soalan soalan asas yang hanya akan timbul apabila kita amal tuntutan AlQuran – Afala Tazakkarun? -Tidak kah kamu berfikir? Apabila kita tidak amalkan tuntutan ini maka kita sesat didalam kejahilan walaupun kita dianggap cendiakawan didalam ruang lingkup ilmu barat.

Saterusnya didalam membincang soal ekonomi pernahkah kita soal objektif ekonomi yang terpakai seluruh dunia yakni objektif memaksimakan untung. Objektif memaksimakan untung juga mengemudi ekonomi yang kita amal sekarang. Pada asasnya ini objektif ekonomi yang baik yang memastikan setiap unit ekonomi berusaha meningkat usaha ekonomi.

Tapi apakah objektif ini yang terhasil dari sebuah ekonomi yang bersanad kepada ekonomi zaman Rasullullah saw. Kita pelajari bahawa niat asas berniaga dizaman Rasullullah saw ialah niat fardhu kifayah mendatangkan barang keperluan kepada sesuatu masyarakat. Begitu banyak waqf dan infaq berlaku. Dan kalau kita bicara Maqasid Syariah khususnya berkaitan maal atau harta kita pelajari bahawa yang harus dimaksimakan ialah maslahah umat atau kebajikan manusia, bukan maksimakan keuntungan.

Hasil memaksima keuntungan dan bukan memaksima kebajikan manusia lah yang menghasil kelaparan diJohor Baru sekarang yang merupakan suatu petanda apa yang tidak kena dengan amalan ekonomi sekarang.

Didalam Maqasid Syariah khususnya memaksima maslahah ammah, tercatit beberapa tuntutan berkaitan harta, yang asasnya dihasil oleh AsShafie, AlGhazali dan AsShatibi. Diantaranya ialah pengagihan kekayaan yang saksama, dan peredaran harta yang menyeluruh kepada kaya dan miskin dalam masyarakat.

Pernahkah kita renung bahawa sistem ekonomi yang kita amal sekarang khususnya sistem ciptaan wang dan perbankan berasaskan hutang, mewajibkan pemindahan harta dari yang miskin kepada yang kaya? Dan yang mewajibkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin?!

Kalau kita tidak faham perkara ini berlaku, kita harus soal mengapa kita tidak faham? Apakah selama ini kita memandang enteng usaha orang lain untuk ketengahkan isu maha penting kepada umat ini?

Apa apa pun, kita harus sedia menjawab diyaumil akhir, mengapa kita memandang sepi, bahkan menderhakai tuntutan Allah swt dalam Surah AlHasyr ayat 7, mafhumnya :

“……….supaya harta itu tidak hanya beredar diantara orang orang kaya diantara kamu……”

Muhammad Zahid Abdul Aziz

Reformis Monetari.

Gerakan Keadilan Monetari.

mmj.my dan FB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *