SEBUAH NEGARA BOLEH DIBANGUNKAN HANYA DENGAN NOMBOR

SEBUAH NEGARA BOLEH DIBANGUNKAN HANYA DENGAN NOMBOR

Assalamu ‘Alaikum.

Sebuah negara boleh dibangunkan hanya dengan nombor. Bayangkan sebuah negara baru yang belum dibangunkan, yang baru bermula sebagai sebuah negara, dan hanya mempunyai 4 institusi dalam ekonominya – 1. Bank pusat yang bertindak seperti bank komersil dengan keupayaan mengendali akaun semasa. 2. Syarikat yang memiliki tanah 3. Syarikat yang dapat menyediakan tenaga kerja dan sumber daya bahan dan sebagainya 4. Sebuah Syarikat Pemaju Pelabuhan.

Negara ingin mempunyai sebuah Pelabuhan. Segala-galanya boleh dimulakan dengan Bank Pusat yang hanya menghasilkan angka, katakanlah RM200 juta, dan memasukkannya ke dalam akaun semasa Pemaju Pelabuhan. Pemaju Pelabuhan kemudian memindahkan RM100 juta kepada Pemilik Tanah untuk membeli tanah untuk membina Pelabuhan. Kemudian ia memindahkan RM100 juta kepada syarikat yang lagi satu untuk membeli tenaga kerja dan sumber daya bahan (kren, peralatan, simen, dll) untuk membina Pelabuhan. Dalam masa 18 bulan, Pelabuhan sudah siap dengan izinNya.

Jadi apa yang kita pelajari di sini adalah tidak ada misteri dengan wang. Negara boleh membina Pelabuhan hanya dengan nombor! Apa yang tidak dapat dilakukan oleh negara adalah membeli barang dari negara luar. Sekiranya ingin membeli beras dari negara lain, ia harus menjual sesuatu, katakanlah getah yang dihasilkannya untuk mendapatkan mata wang asing untuk membeli beras tersebut. Bagi keperluan dari dalam negara, kita lihat yang diperlu hanyalah angka dari bank pusat.

Apa yang harus dipastikan oleh negara ialah wang tidak dicipta berlebihan untuk mewujudkan inflasi yang ditanggung berat oleh rakyat marhaen. Sekiranya wang itu dalam bentuk emas dan perak – ia sangat baik! Sekiranya ia duit kertas yang disokong oleh emas dan perak – terbaik juga!. Sekiranya ia hanya nombor tetapi bank pusat mampu mengawal pengeluarannya dan membatasi penciptaannya hanya untuk ekonomi sebenar- itu juga baik. Tetapi kita mintalah majlis fatwa negara melulus perkara ini.

Jadi tidak ada misteri mengenai wang. Sebuah negara tidak perlu meminjam dari Bank Dunia jika semua sumber yang kita perlukan adalah dari dalam negara. Namun sistem songsang yang kita miliki sekarang ialah hak untuk menghasilkan wang diberikan kepada bank swasta, dan rata-rata lebih 80% pinjaman / wang baru yang mereka hasilkan adalah untuk pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan, harta tanah komersial dan sektor kewangan yang menguntungkan mereka sendiri sambil menderitakan rakyat dan negara.

Lihat pada masalah-masalahnya yang tertimbul – inflasi kekal, pengluasan jurang miskin kaya yang berlarutan dan lain-lain? Yang kaya bertambah kaya yang miskin bertambah miskin. Banyak wang baru dicipta tanpa diikuti penciptaan barang dan perkhidmatan dalam ekonomi. Dan jika bank seperti yang mereka lakukan sekarang, terus menghala hanya 20% wang  kepada keperluan PKS, yakni Sektor Perusahaan Kecil Sederhana, yang  mewujudkan 80% pekerjaan, kita akan terus mempunyai pengangguran belia dan siswazah yang sangat tinggi. Kita juga kehilangan peluang kenaikan keluaran ekonomi sebab sektor PKS rata-rata menghasil 60% terhadap KDNK.

Pada peringkat antarabangsa pula hak untuk mencetak wang diberikan kepada AS iaitu USD sebagai mata wang antarabangsa. Pimpinan AS jelas dimiliki oleh Lobi Israel – jadi Palestin dan AlAqsa kian terancam. Lihat bagaimana menantu Presiden Trump dahulu menentukan peraturan yang menyerahkan Baitul Maqdis kepada Israel ?! Apakah tidak terguris hati kita sebagai umat Islam?!

Lihat mengapa dalam Surah AlBaqarah Ayat 279 Allah swt dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap pengamal riba? Riba bukan perkara kecil. Kita wajib mulakan dengan mereformasi sistem kewangan domestik kita sendiri.

Dan diperingkat antarabangsa usaha menerapkan suatu sistem yang tidak membawa kepada kehilangan Palestin dan AlAqsa, dan kehancuran Libya, Iraq, Afghanistan, Syria dan lain-lain.

Akibat sistem monetari umat Islam berputih mata. Sedarlah dan bangunlah saudaraku. Ya Rabb kembalikanlah amanah kepada yang memahami dan yang mampu menanganinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *