Soalan-Soalan Terhormat Kepada YB Menteri Kewangan
Assalamu ‘Alaikum,
Saya tertarik sekali dengan rumusan kejayaan kerajaan dalam menangani ekonomi Covid. Harus dipuji RM6.5 billion dapat dicari untuk biayai Bantuan Perihatin Rakyat. Namun ini sebenar jumlah terlalu sedikit dibanding keupayaan sebenar kerajaan. Kerajaan masih membela towkay bank untuk kekalkan keuntungan RM34 billion setahun mereka; dan memaksa rakyat susah mengeluarkan simpanan hari tua mereka dari KWSP. Sudah tersohor rakyat Malaysia tiada simpanan untuk hadapi kecemasan, kini mereka dituntut keluarkan simpanan wajib mereka demi kasihnya kerajaan kepada towkay bank.
Apa sebenarnya yang hanya bank boleh buat kerajaan tidak boleh buat? Parti Monetary Justice of Canada telah buktikan kerajaan boleh ambil alih tugas bank demi penyantunan rakyat. Mereka memerintah Alberta dengan penuh jaya dan sokongan rakyat selama 34 tahun mulai awal 1930 sebelum dijatuhkan oleh komplot industri perbankan.
Saya kira dengan RM34 billion menjadi milik kerajaan tiap-tiap tahun, kerajaan bukan sahaja dapat bantu sebahagian B40 malah kita akan mampu hadir pendapatan asas (“basic income”) kepada semua B40 ; wujudkan pendidikkan percuma keUniversiti untuk semua rakyat, dan menghapuskan cukai pendapatan melainkan kepada yang kaya.
Juga kerajaan bangga pengangguran negara (“unemployment rate”) negara dibawah 5%. Berapa pengangguran sebenar graduan dan anak muda?!
Seandainya China 2 juta, Indonesia dan Filipina masing-masing 1 juta siswazah menganggur, benarkah pengangguran graduan kita hanya 100,000?!
Bagaimana dengan jumlah siswazah kita yang berkeadaan “underemployed”? Berapa ramai anak-anak, adik-adik siswazah kita memohon kerja kerani dan menyembunyi lulusan sebenar?
DiMalaysia kita telah serahkan hak cipta wang kepada bank swasta. Bank Negara hanya cetak 5% wang kertas dan syiling ; bank swasta mencipta 95% wang baru dalam bentuk nombor atau catitan akaun apabila mereka memberi pinjaman.
Demi memaksima untung peribadi mereka, mereka menghala 65% wang/pinjaman kpd sektor tidak produktif. Ini menghasil inflasi ‘am yang menekan rakyat marhaen dan inflasi gelembung yang melonjak harga rumah diluar kemampuan anak muda, selain membuat yang kaya bertambah kaya yang miskin bertambah miskin.
Hanya 35% pinjaman/wang dihala kesektor syarikat. Dunia maklum sektor IKS (Industri Kecil Sederhana) lah pencipta besar pekerjaan sesebuah negara. YB Menteri Kewangan akui sektor IKS mencipta 70% pekerjaan diMalaysia dan menyumbang 39% terhadap KDNK.
Namun ketahuikah beliau sektor bank yang beliau sangat sayangi dan santuni itu hanya menyalur 16% pinjaman/wang kepada sektor IKS ; sektor yang mencipta 70% pekerjaan negara?!
Saya mengikuti data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia berkaitan pembiayaan kepada IKS dengan teliti. Pada 2005 Jabatan Statistik melapurkan hanya 16.1% keperluan IKS dibiayai bank, yakni 13.4% oleh bank komersial dan 2.7% oleh Institusi Kewangan Pembangunan (yang antaranya adalah Bank SME). Saya cari kemaskini saterusnya oleh Jabatan Statistik- tiada lagi laporan ini dikeluarkan!
Yang ada ialah data-data yang menggembar gembur layanan baik bank terhadap sektor IKS. Yang terbaru ialah pengumuman bahawa dalam ‘Total Business Lending” (Jumlah Pinjaman Perniagaan Dalam Negara) pecahan antara sektor IKS dan Syarikat Besar ialah 46 : 54.
Ini suatu angka yang baik seolah 50:50 antara IKS dan Syarikat Besar. Tetapi apabila kita sandarkan kepada peratusan hanya 35% jumlah pinjaman negara pergi kesektor syarikat; sektor IKS hanya mendapat 16% (46% of 35%) jumlah pinjaman.
Sektor yang menjana 70% pekerjaan negara, Kementerian Kewangan/BNM hanya membiarkan mendapat 16% pinjaman?!
65% pinjaman adalah kepada sektor tidak produktif yang memberatkan inflasi ‘am dan melonjakkan harga rumah.
Seandainya kita keluarkan sektor pinjaman kerajaan (8%) dari peratusan 35% itu ia menjadi 27% -maka pinjaman yang didapati sektor IKS sebenarnya hanya 12.4%!
Ada lagi beberapa usaha untuk mencantikkan data yang dilakukan oleh bank swasta. Antaranya ialah mengumum 90% permohonan IKS diluluskan oleh bank ini. Namun apabila kita kaji kita dapati kumpulan syarikat-syarikat IKS ini telah dipilih secara teliti sebelum menganjur mereka membuat permohonan. Dalam ertikata lain – “a biassed sample” (sampel berat sebelah).
Bak kata barat – “There are lies, damned lies and statistics” yakni “Ada pembohongan, pembohongan terkutuk, dan statistik.”
Namun bukan semua statistik pembohongan. Kita pohon YB Menteri Kewangan terangkan statistik-statistik berikut.
- Pendapatan T20 pada tahun 1970 adalah RM3,900 sebulan dan pada 2016 RM12,188 sebulan. Pendapatan B40 pada tahun 1970 RM400 dan pada 2016 RM2,448
Mengapa pada 1970 beza diantara T20 dan B40 ialah RM3,500 dan pada 2016 bezanya telah naik ke RM9,740?!
2. Seandainya pihak bank bertanggung jawab dalam tugas penciptaan wang negara mengapa pada akhir Jun 2020 jumlah pinjaman mereka kepada sektor rumahtangga (Household Sector) menjangkau RM1.27 trillion bersamaan 87.5% KDNK?
3. Dan seandainya RM1.27 trilion ini dihalakan kepada sektor ekonomi tampak(real economy) betapa banyakkah peningkatan output ekonomi dan peningkatan pekerjaan, sepatutnya rakyat Malaysia nikmati sekarang?!
Dan betapa banyakkah rakyat Malaysia telah rugi demi keengganan mereka yang berwajib menyoal dan mereformasi sistem ini?
Muhammad Zahid Abdul Aziz (C’72S)
Reformis Monetari Islam.
Gerakan Keadilan Monetari FB dan website mmj.my
