DISEBALIK KENAIKKAN HARGA NASI LEMAK

Assalamu ‘Alaikum,

 

DISEBALIK KENAIKKAN HARGA NASI LEMAK

 

“Haji saya kena bagitahu harga nasi lemak naik RM2 sebungkus hari ni. Yang jual dalam van tu bagitahu kat saya kita kena pakat naik harga, tak mampu dah nak tampung kenaikkan harga bahan,” Makcik nasi lemak ‘regular’ saya memberitahu pagi tadi.

 

Saya tertanya-tanya diri sendiri nak beritahu atau tidak kepada dia tentang punca harga naik. Kesemua orang mengeloh harga naik, dan kepada ramai orang harga barang naik sebab harga yang mereka beli naik, atau harga bahan yang mereka beli naik. Kepercayaan ini tidak salah sebab memang itu penyebab penjual menaikkan harga barang yang mereka jual.

 

Tapi tahukah penjual mengapa harga bahan naik? Ini suatu perkara masyarakat tidak faham, namun kerajaan sendiri tidak faham atau enggan faham.

 

Punca sebenar kenaikkan harga barang ialah jumlah wang dalam negara melebihi kenaikkan jumlah barang (dan khidmat) dalam negara. Bukankah kenaikkan jumlah wang dalam negara suatu perkara yang baik, kita semua boleh jadi kaya? Tidak. Kenaikkan jumlah wang yang setara dengan kenaikkan jumlah barang harus menjadi kita semua kaya. Tetapi kenaikkan jumlah wang jauh lebih tinggi dari kenaikkan jumlah barang tidak menjadikan kita kaya, malah menjadikan kita miskin.

 

Ini disebabkan kelonjakkan jumlah wang dalam negara yang jauh meninggal kenaikkan jumlah barang akan menyebabkan inflasi atau harga barang naik. Ini mencuri kuasa beli kita dan membuat kita jadi miskin. Perkara yang lebih perit ditanggung oleh mereka yang berpendapatan rendah.

 

Habis, mengapa kerajaan cipta wang dengan begitu banyak sehingga menghasilkan inflasi? Pokoknya, bukan kerajaan yang mencipta duit lebih ini tapi swasta.

 

Swasta?! Bukan Bank Negara ke yang mencipta wang kita? Ya betul Bank Negara yang mencipta duit kita, tapi hanya 3% dari jumlah wang negara, 97% lagi dicipta oleh swasta.

 

Siapa, syarikat kroni ke? Tidak, tapi mereka ini lebih dimanjai dari syarikat kroni. Mereka dibenar untuk cipta wang bila mereka membuat pinjaman, dan mereka boleh kenakan bunga diatas pinjaman ini.

 

Wah, best perniagaan ini, boleh cipta wang bila nak beri pinjaman kepada pelanggan, pastu boleh kena bunga!

 

Siapa mereka ini? Tu yang bernama Maybank, Bank Hong Leong, Bank Muamalat, Bank Islam , Bank Public, Bank Standard Chartered, malah semua jenis bank!

 

 

 

 

Bank Islam dan Bank Muamalat adalah perbankan Islam, mereka pun terlibat juga? Ya mereka terlibat juga, ciptaan duit boleh dilakukan oleh mana mana institusi yang serentak ada akaun semasa dan boleh memberi pinjaman/pembiayaan, walaupun pembiayaan itu berdasar Mudharabah dan Musyarakah.

 

Macam mana mereka cipta duit? Mereka ada mesin cipta duit ke? Takde, tapi penciptaan duit mereka lebih laju dan lebih banyak dari mesin cipta duit.

Macam mana? Apabila kita simpan wang dalam bank, bank akan pinjam wang tersebut kepada orang lain. Dan bila orang tu letak balik wang itu dalam bank, bank akan pinjam pula duit yang sama kepada orang lain. Boleh ke bank membuat perkara ini? Boleh. Tak salah ke? Undang undang kita kata tak salah. (Untuk perbankan Islam tukar “pinjaman” kepada “pembiayaan”, dan aliran wang dan perkara yang sama akan berlaku.)

 

Bagaimana kalau semua orang keluarkan duit serentak? Yang ni bank yakin tak akan berlaku sebab mengikut pengalaman bank tak semua orang datang serentak, simpan tunai 10% je dari jumlah pinjaman/pembiayaan yang diberi. Pastu pembayaran besar mereka guna buku cek. Sekarang keadaan bank lebih selamat, bank galak orang bayar online melalui internet, mesin ATM dan kad debit, tak perlu pegang banyak tunai pun. Semuanya boleh settle dalam buku.

 

Tiada had ke jumlah wang bank boleh cipta? Ia terhad hanya kepada jumlah yang bank perlu simpan di Bank Negara dari setiap deposit yang dia terima. Sebab hanya bakinya yang boleh dipinjam kepada orang lain.

 

Banyak ke duit yang bank boleh cipta? Sekiranya yang kena simpan diBank Negara 2% dari setiap deposit, RM1000 deposit asal Bank boleh cipta RM24,000 duit dari atas angin. Kalau deposit asal RM1 billion Bank boleh cipta RM24 bilion duit dari atas angin.

 

Tapi bukan kah duit tu untuk menjana ekonomi yang lambat laun akan mencipta barang? Yang tercipta barang bagus lah tetapi selalunya kenaikkan jumlah wang tak terkejar oleh kenaikan barang. Yang diberi untuk pinjaman peribadi dan kad kredit tak mencipta apa- apa pun hanya meningkat permintaan kepada barang tanpa penciptaan barang. Yang ditumpu pada rumah akan melonjakkan harga rumah. Yang ditumpu kepada kereta akan menaikkan harga kereta. Yang ditumpu kepada pembelian bahan akan melonjakkan harga bahan.

 

Sekiranya kita faham bahawa wang itu sama dengan jumlah hutang yang diberi oleh bank dan tiada had kepada jumlah hutang yang bank boleh beri, kita faham bahawa untuk mengejar keuntungan, bank akan memberi terlalu banyak hutang dari masyarakat boleh tanggung. Oleh yang demikian, apabila terlalu banyak wang yang dicipta, maka melonjak lah jumlah wang dan melonjaklah harga barang, mencuri kuasa beli semua orang.

 

Inilah sebabnya Makcik nasi lemak tu terpaksa naikkan harga nasi lemak tadi dan percayalah tindakan ini akan diulang olehnya berulang kali dimasa hadapan tanpa henti.

 

Setakat inilah dulu. Kita belum bincang lagi bagaimana sistem perbankan ini memperkaya yang sudah kaya, dan mengkedanakan lagi yang sudah miskin. Dan juga bagaimana sistem ini mewajibkan graduan dan anak muda menganggur dengan jumlah yang banyak. Pasangan muda kini dah banyak tak mampu membeli rumah, dan begitu banyak juga pasangan muda menjadi muflis dari keghairahan bank menjual duit didalam keadaan gaji anak muda tidak terkejar kos hidup harian.

 

Kita mampu mengubah keadaan, mengapa kita terlalu jumud untuk memikir saperti sentiasa dituntut dalam Quran. Gembirakah kita sistem kita melanggar perintah Allah swt dalam Surah AlHasyr ayat 7, dan melanggar Maqasid Syariah tidak mencuri hak orang lain, dan Maqasid Syariah membela Islam.

 

Benarkah kita tidak mampu mengubah keadaan, dan tidak ada orang yang mampu memikir alternatifnya, atau kita sendiri yang tidak mampu memikir dan melaksanakan alternatifnya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *