Jual beli dengan harga tangguh yang diamal dizaman Rasulullah s.a.w. dan jual beli harga tangguh sekarang

Jual beli dengan harga tangguh yang diamal dizaman Rasulullah s.a.w. dan jual beli harga tangguh sekarang

Adakah dibolehkan jual beli secara tangguh dengan penambahan pada harga barang

Jualan ini dikenali sebagai al “ bai’ biltaksit” iaitulah barang yang dibeli didahulukan kepada pelanggan. Dan pelanggan menangguhkan pembayaran harga barangan tersebut sama ada kesemua jumlah harga ataupun sebahagiannya secara beransur-ansur dalam tempoh yang ditetapkan.

Jualan secara ansuran merupakan di antara bentuk transaksi yang paling banyak dilakukan sama ada secara individu mahupun masyarakat dipelbagai tempat. Kewujudan transaksi ini kian meluas terutamanya selepas daripada berlakunya Perang Dunia yang kedua.

Hukum.

Hukumnya adalah harus dan dibolehkan, ini adalah berdasarkan kepada riwayat, di antaranya:

Riwayat Bukhari (2068) Muslim ( 1603)

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ .

Daripada Aishah, sesungguhnya Rasulullah membeli makanan daripada kaum Yahudi dengan secara tangguh dan Rasulullah telah menjadikan baju besi baginda sebagai gadaian.

Bersandarkan kepada hadis di atas dan riwayat2 yang lain. Harus jual beli secara tangguh dengan tidak berubah nilai atau harga barangan setelah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Namun begitu terjadi khilaf di antara ulama’. Dengan hujah, bahawa hadis dan riwayat yang dinyatakan adalah berkenaan dibenarkan dan dibolehkan untuk membayar secara tangguh tetapi tidak menyatakan dibolehkan penambahan pada harga barangan yang dijual secara tangguh.

Maka satu golongan kecil daripada ulama’ menyatakan bahawa ia adalah haram, dengan hujah ia adalah riba’. “ penambahan pada harga sebagai ganti penambahan tempoh adalah riba’.”

Adapun pendapat jumhur@kebanyakan ulama menyatakan ia adalah harus dan dibolehkan. Ini termasuk pendapat keempat-empat Imam Mazhab.

1. Mazhab Hanafi “ harga yang ditambah mengambil tempat masa yang tertangguh”
المذهب الحنفي : ( الثمن قد يزاد لمكان الأجل ) بدائع الصنائع 5 / 187 .

2. Mazhab Maliki “ dijadikan pada masa itu satu sebahagian daripada harga”
المذهب المالكي : ( جَعل للزمان مقدار من الثمن ) بداية المجتهد 2 / 108 .

3. Mazhab Syafie “ harga lima matawang adalah enam pada ketika ia ditangguhkan”
المذهب الشافعي : ( الخمسة نقداً تساوي ستة نسيئة ) الوجيز للغزالي 1 / 85 .

4. Mazhab Hanbali “ penangguhan merupakan sebahagian daripada harga”
المذهب الحنبلي : ( الأجل يأخذ قسطاً من الثمن ) فتاوى ابن تيمية 29 / 499 .

Kesemua pendapat ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al quran dan As sunah.

1. Firman Allah S.W.T.

وأحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ ) البقرة/275 (

Ayat ini secara umum menjelaskan kesemua bentuk jualan termasuklah jualan sama ada secara tunai mahupun secara tangguh dan penambahan pada harga jualan dengan penambahan tempoh masa.

2. (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ) النساء/29

Ayat ini mengharuskan jual beli dengan adanya redha di kedua-dua pihak. Maka apabila pembeli redha dengan penambahan harga dengan diberikan tempoh yang diperpanjangkan, maka jual beli tersebut adalah harus.

3. Bai’ salam adalah harus dengan nas dan ijma’. Ia menyerupai bai’ biltaksit. Para ulama menyatakan, di antara hikmah bai’ as salam itu, pembeli mendapatkan harga yang murah dan penjual mendapatkan wang yang didahulukan. Ini juga adalah merupakan dalil kepada tempoh masa itu mempunyai atau merupakan sebahagian nilai daripada harga. ( Al- Mughni 385/6)

Dalam hal ini, kedua dua pihak memperoleh manfaat. Penjual mendapatkan keuntungan yg lebih berdasarkan kepada tempoh yang diberikan. Manakala pembeli memperoleh manfaat dengan ketidakmampuan untuk menjelaskan jumlah harga secara langsung.

Oleh yang demikian Jualan harga tangguh dianggap sah dalam ekonomi Islam

Antara contoh lain ialah dimana pembeli tepung berhak meminta pembelian dengan harga tangguh dari penjual. Saperti dikupas diatas isu perbezaan harga diantara harga lani dan harga tangguh bukan lagi isu. Ia dibenarkan dengan syarat harga tidak berubah selepas akad. Yakni kalau RM3000 merupakan harga tangguh 1000kg tepung yang perlu dibayar 3 bulan dari sekarang, harga tidak boleh dinaikkan sekiranya tempoh bayaran melewati sehingga 4 bulan.

Kalau kita kaji transaksi tersebut ia menepati semua syarat-syarat jual beli termasuk rukun, qabd (milik) dan penyerahan. Dari segi rukun jual beli,ada pembeli, ada penjual, barang yang jelas, harga yang satu, tempoh yang jelas dan ijab qabul yang sah. Penjual memilikki tepung dengan sah sebelum menjual dan pembeli menerima penyerahan barang yang sempurna.

Ini jual beli harga tangguh yang dimaksudkan yang diamal dizaman Rasulullah s.a.w.

Berikut ialah jualan harga tangguh dalam industri perbankan Islam sekarang.

1) Bank membeli rumah dengan qabd yang sah dan menjual rumah tersebut kepada pembeli dengan tempoh harga tangguh selama 30 tahun. Bank tidak amalkan kelonggaran Ayat 280 surah AlBaqarah apabila pembeli gagal mengikut jadual bayar balik. Apakah jualan harga tangguh ini menepati ciri-ciri jualan harga tangguh tepung yang disebut diatas?

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ
تَعْلَمُونَ

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya. Dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Surah AlBaqarah Ayat 280)

2) Bank “membeli” rumah dengan qabd yang mencurigakan kesahihannya dan menjual dengan harga tangguh kepada pelanggan dengan tempoh harga tangguh selama 30 tahun saperti diatas

3) Bank membeli traktor dengan qabd yang sah dan menyewanya atas prinsip Ijarah kepada sebuah Syarikat. Diatas kemerosotan ekonomi syarikat tidak maju dan gagal membayar sewa Ijarah. Adakah transaksi sebegini untuk perniagaan sah dalam ekonomi Islam? Adakah tindakan merampas kembali traktor diatas sebab kemerosotan ekonomi sesuai dengan tuntutan Ayat 280 surah Albaqarah?

4) Bank membeli tanah sebuah Syarikat dan menjual balik tanah tersebut kepada Syarikat dengan harga yang lebih tinggi dengan pembayaran secara harga tangguh. Syarikat menggunakan wang tersebut untuk modal harian. Adakah ini suatu transaksi yang sah?

Syarikat gagal membayar harga tangguh diatas sebab kemerosotan ekonomi dan bank merampas balik tanah tersebut tanpa melaksana tuntutan ayat 280 Surah AlBaqarah. Adakah ini suatu transaksi yang sah dan adil dalam ekonomi Islam?

5) Didalam semua keadaan diatas pemberi hutang tiada niat sama sekali untuk membuat sedeqah kepada yang berhutang yang menghadapi sengsara membayar hutang diatas dasar ini ialah hutang perniagaan bukan hutang ehsan.
Apakah surah AlBaqarah ayat 280 mengambil kira perbezaan hutang perniagaan dan hutang ehsan apabila menuntut penghutang melangsai hutang itu sebagai sedekah sekira ia lebih mengetahui kebaikan tersebut?

6) Dasar yang ma’ruf dalam ekonomi Islam ialah hutang simati akan diselesaikan oleh kerajaan dari sumber zakat sekiranya waris simati tidak mampu menyempurnakan hutang tersebut. Apakah jenis hutang simati yang akan diselesaikan oleh kerajaan? Jelas hutang ehsan yang diambil oleh simati untuk sesuatu urusan penting peribadi saperti kesihatan anak contohnya diantara hutang yang akan diselesai oleh kerajaan.

Jelas tidak termasuk disini ialah hutang simati untuk membeli rumah, kenderaan dan untuk perniagaan. Tidak mungkin dan tidak wajar baitul maal dipertanggungjawab selesai hutang sebegini.

Jelas sekali hutang perniagaan, hutang perumahan dan kenderaan tidak termasuk didalam kategori hutang yang kerajaan akan selesai dari sumber zakat untuk simati. Sipemberi hutang begini pula enggan tertakluk kepada ayat 280 surah AlBaqarah.

Persoalan sekarang ialah adakah hutang untuk perniagaan sah didalam ekonomi Islam ataupun perniagaan hendaklah semata-mata dibiayai diatas dasar Mudarabah dan Musharakah?

Persoalan kedua membeli rumah secara hutang besar-besaran saperti yang diamalkan sekarang ini, adakah ia suatu transaksi yang wajar dalam ekonomi Islam? Ataupun ada kaedah lain yang lebih cucuk dengan sebuah ekonomi Islam? Mungkin kerajaan berperanan menyediakan perumahan untuk ummah. Maka transaksi beli atau sewa ialah dengan kerajaan yang lebih mampu melaksanakan Ayat 280 surah AlBaqarah.

Apakah pendapat anda?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *