APABILA UNTA DICADANG DILETAK DIBAWAH PENGELOLA KANDANG KUDA

APABILA UNTA DICADANG DILETAK DIBAWAH PENGELOLA KANDANG KUDA

Saya membaca dengan getaran hampa bahawa satu satunya institusi kewangan Islam yang kita bangga dengan keIslamannya akan diletak dibawah kelolaan Bank Negara. Saya masih ingat semasa menjadi Pengurus Bank Islam setahun jagung pada tahun 1996 saya dijemput membentang kertas kerja di Persidangan Dunia antara terawal Perbankan Islam yang diadakan diDubai, Emirat Arab Bersatu pada tahun tersebut.

Dengan sedikit gemuruh emosi saya nyatakan dengan lantang didepan hampir seribu peserta ahli perbankan Islam berbangsa Arab dan pelbagai bangsa, bahawa Bank Islam Malaysia Berhad bukanlah Bank Islam pertama diMalaysia. Hadirin terpegun dengan kenyataan saya, dan berdesas desus ingin tahu siapakah Bank Islam pertama diMalaysia kalau bukan Bank Islam Malaysia Berhad?

Saya tenangkan hadirin dan menjelaskan bahawa Bank Islam pertama diMalaysia ialah Lembaga Tabung Haji. Lembaga Tabung Haji mengutip pelaburan orang Islam dengan prinsip perkongsian untung Mudharabah dan melabur didalam kilang sabun dan ladang kelapa sawit diatas prinsip perkongsian untung rugi Musyarakah. Tiada perniagaan hutang didalam perniagaan Tabung Haji dan Tabung Haji berkongsi untung dengan pendeposit nya. Saya bilang, seandainya ini bukan perbankan Islam saya tidak tahu lagu mana lagi hendak takrif perniagaan Tabung Haji, disambut riuh gemuruh hangguk dan persetujuan oleh para hadirin. Untuk memahami buruk padah dan kefasadan ekonomi yang dijenterai hutang sila layar website Gerakan Keadilan Monetari di mmj.my

Itu diantara ketelusan hati pekerja Bank Islam diawal bertapaknya perbankan Islam ditanahair. Kami tidak bangga dengan halatuju perbankan Islam, dan kerap mendahului Mudharabah dan Musyarakah diatas prinsip prinsip hutang didalam kerja harian kami. Namun apabila kami dikelolai oleh sebuah institusi yang masak mengelolai bank riba sedikit demi sedikit kami dihalang dari menyerlahkan Perbankan Islam sebenarnya.

Ramai berpendirian bahawa prinsip-prinsip  hutang diterima pakai sama dengan prinsip perkongsian untung rugi. Tetapi kita perlu perhati kepada sifat institusi tersebut sebelum kita boleh terima pakai prinsip perniagaan hutang yang ia pelopori.  Contohnya seandainya sebuah bank Islam bersifat sebuah conglomerate yang punyai pelbagai cabang perniagaan saperti contohnya Sime Derby, maka tidak janggal seandai Sime Derby menjual kereta diatas prinsip jualan harga tangguh Murabahah. Tetapi seandai bank yang memang bank dan bukan sebuah conglomerate menjual kereta dengan prinsip Murabahah, tanpa milikkan atau qabdh yang sahih sungguh sukar untuk akal menerima ia prinsip yang sah dan cucuk.

Kita teringat dua pesanan hadith yang sering dibacakan :

Sabda Baginda saw maksudnya: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah saw menjawab: Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Pemberi hutang atau pinjaman tidak diperkenankan mengambil manfaat atau keuntungan duniawi dari orang yang berhutang. Sebab keuntungan yang didapat dari pemberian pinjaman termasuk riba. Nabi Shalallahu ‘Alaii Wassallam bersabda;

أإِذَا أَقْرَضَ أَحَدُكُمْ قَرْضًا ، فَأُهْدِيَ إِلَيْهِ طَبَقًا فَلا يَقْبَلْهُ ، أَوْ حَمَلَهُ عَلَى دَابَّةٍ فَلا يَرْكَبْهَا إِلا أَنْ يَكُونَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُ قَبْلَ ذَلِكَ

Meletak Lembaga Tabung Haji dibawah kelolaan Bank Pusat adalah suatu langkah kebelakang.

Kita simpan harapan bank Bank Islam sekarang mencontohi prinsip perniagaan perkongsian untung rugi Lembaga Tabung Haji. Yang terjadi ialah sebaliknya ; Lembaga Tabung Haji akan diletak diawah kelolaan yang akan mengacukan kan nya bertindak sebagai bank Islam biasa sekarang yakni suatu lagi institusi kewangan Islam yang akan menjuarai hutang.

Apabila unta mula menjelma menjadi kuda tunggulah porak peranda pandangan alam muamalat Islam.

Muhammad Zahid Abdul Aziz

Reformis Monetari. mmj.my. FB @ Gerakan Keadilan Monetari

18 hb Julai 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published.