APAKAH ISU SEBENARNYA? ADAKAH IA ISU MONETARI ATAU LEBIH DARIPADANYA?

Apakah isu sebenarnya? Adakah ia isu monetari atau lebih daripadanya?

 

Kita tertarik dengan rentak filem barat sekarang yang rata rata ada unsur mistik seolah tercari cari rahsia permulaan dunia yang kita hidup sekarang ini. Setiap produser membawa kepercayaan tersendiri, dari kepercayaan karut asal kita sebagai alien, dan sentiasa juga filem tersebut menayang makhluk makhluk yang pelik dan ngeri samada berperang sama sendiri, atau pun menyerang dunia yang kita diami sekarang. Ini bukanlah suatu perkara yang aneh sekiranya kita faham jalan hidup fahaman barat dimana ugama dan asal manusia saperti dilaporkan dalam kitab suci tidak lagi diterima pakai. Sekarang ini seolah olah produser Hollywood lah yang mempunyai kunci rahsia untuk mengajar manusia dari mana kita datang. Maka berduyun duyun lah orang barat menikmat filem begini. Malah orang Islam yang punyai kunci cerita hidup juga sama naik menikmati filem filem ini. Kita harap minat orang Islam adalah sekadar hiburan menikmati rancak teknologi filem barat, tidak terpegun sama sama cari pedoman.

 

Mengapa kita bermula dengan cerita begini? Kerana kita ingin lakarkan keadaan kita sekarang ini yang rata rata tercari cari punca masaalah masaalah hidup yang kita hadapi khususnya dari pandangan orang Islam Malaysia, walaupun masaalah dan kebuntuan ini sama saja dirasai oleh manusia seluruh dunia. Sebelum kita menyenaraikan masaalah tersebut eloklah kita berpindah seketika dari ‘paradise’ atau syurga dunia yang kita diami, dan berhijrah kepada dunia pahit maung yang sedang dialami oleh mereka yang tidak berada, ataupun mereka yang dalam sengsara. Kalau tidak, kita akan sentiasa membanding dengan keadaan hidup senang kita dan keluarga kita, dan menafikan sengsara yang sedang dialami ahli masyarakat yang lain.

 

Dibawah ini saya sertakan suatu cerita hidup yang mungkin boleh menggambarkan contoh mangsa yang ingin ditonjol. Ia sebuah cerita menyayat sebuah keluarga yang tinggal dipinggir ibukota.

 

Jatuh maut, hidup si miskin kota dijerut.

Seorang budak perempuan berusia 4 tahun maut tergelincir dari tingkat 17 Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, Selangor semalam.

Saksi ada memberitahu terdengar bunyi tiga kali dentuman kuat dipercayai tubuh mangsa terhempas di beberapa piring pemancar stesen televisyen sebelum jatuh ke lantai.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Siti Nur Nadhira Hairul Anuar ditinggalkan sendirian sebab kakaknya, Siti Nur Natasha, 14, menghantar seorang adiknya ke sebuah tadika di Blok D PPR itu.

Mereka enam beradik semuanya dengan mangsa merupakan anak bongsu kepada pasangan Hairul Anuar Kusnan, 45 dan Rozneen Hashim, 36.

Suami isteri itu keluar dari rumah sejak jam 6 pagi menjual nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam yang memakan masa kira-kira 30 minit perjalanan.

Natasha seorang pelajar sekolah menengah Tingkatan 2 nampaknya bertugas menjaga adik-adiknya – satu ciri tipikal bagi keluarga berpendapatan rendah.

Dalam laporan akhbar, boleh dilihat Natasha masih lengkap berbaju sekolah menangis meratap di sisi jenazah adiknya di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB).

Ini secebis kisah sedih yang memberi gambaran bagaimana warga kota bertungkus lumus untuk meneruskan hidup. Mereka tidak malas.

Warga miskin kota tidak hanya bergantung harap bantuan wang tunai dari kerajaan.

Bagi orang di luar Lembah Kelang jika masuk ke pusat bandar raya, usah tersihir terpesona melihat bangunan kediaman bertingkat sayup menongkat angkasa itu sebagai simbol kemajuan dan pembangunan. Itu lambang derita dan penindasan halus terhadap warga miskin kota.

Bagi orang kampung, usah pernah rasa hina dengan panggilan itu kerana kalian masih punya tanah dengan anak tidak ada kemungkinan tinggi untuk jatuh maut dari jendela. Dalam kes menyayat hati ini, anak kecil itu jatuh dari tingkat 17!

Ibu bapanya terpaksa keluar begitu awal mencari rezeki. Kalau keluar rumah saja jam 6 pagi, bayangkan jam berapa mereka bangun tidur memasak dan menyediakan segala persiapan jualan.

Mereka perlu keluar awal untuk mengelak terperangkap dalam jalan sesak. Dalam keadaan terdesak itulah, anak yang lebih tua akan memikul sebahagian tanggungjawab menguruskan adik-adiknya.

Natasha terpaksa menghantar adiknya ke Tadika dan pada masa sama bersiap untuk ke sekolah. Timbul persoalan juga, selama ini anak kecil berusia 4 tahun itu siapa yang jaga sepanjang kakaknya ke sekolah dan ibu bapanya berniaga?

Itu sebabnya isu KEMISKINAN masih kritikal di negara kita sebelum kita sibuk mahu bercakap tentang menjadi “negara maju” tapi bab agihan kekayaan ekonomi dan kediaman selamat jauh begitu mundur. Kemiskinan bandar jauh lebih parah apabila turut terdedah kepada ancaman keselamatan.

Berceracaknya flat kos rendah 17, 18 tingkat di Kuala Lumpur dan Selangor dengan sebahagiannya tidak dipasang jeriji, bila-bila masa saja akan menyaksikan peristiwa meragut nyawa ini boleh berulang.

Itu belum lagi masalah penyelenggaraan yang lemah di flat kos rendah. Di Rumah Pangsa Mutiara Fadason, Kepong Selangor setinggi 18 tingkat, Blok C flat itu yang hanya tinggal satu saja lif masih berfungsi rosak pula sejak 20 Ogos lalu.

Akibatnya, mereka termasuk warga emas terpaksa menggunakan tangga. Bayangkan seorang nenek Asnah Amir Hussein berusia 73 tahun terpaksa naik tangga 40 minit, turun 40 minit untuk ke rumahnya di tingkat 9!

“Setiap langkah penuh kesakitan,” keluhnya kerana setiap kali melangkah turun, lutut sakit manakala pinggang pula sakit setiap kali mendaki tangga.

Itu warga emas berusia 73 tahun. Surirumah Uma Baskaran, 43, pula sampai patah hidung akibat terjatuh ketika mendaki tangga untuk ke rumahnya di tingkat 17! 😢😭

Bayangkan, bagaimana perancangan dan kelulusan pihak penguasa untuk flat tersebut dibina lebih 15 tahun itu dengan hanya ada dua lif?! Bayangkan 1,000 penduduk guna 2 lif sejak lebih 15 tahun. Mana tak rosak?!

Kisah rakyat marhaen ini sepatutnya mengingatkan kita sebagai masyarakat sivil dalam tentang cengkaman taburan kekayaan yang amat tidak sekata.

Mari ubahsuai bentak berang dialog filem “One Two Jaga” dengan latar penggambaran pun di sekitar Kerinchi – Pantai Dalam yang menyaksikan berceracaknya flat kos rendah sedang dihimpit projek mega rumah maha mewah dengan nama baru Bangsar South – Pantai Sentral Park yang tidak mampu dinikmati majoriti rakyat Malaysia berpendapatan rendah:

“Kepada “Apa?! Malaysia ni ingat orang kaya gila saja punya ke?!”

 

Agihan kekayaan di tanah air kita yang menyaksikan rakyatnya amat “beradab” kepada elit penguasa amatlah tidak seragam.

Wujud kekayaan yang sangat tinggi oleh sebilangan kecil rakyat Malaysia. Kekayaan di tanah air kita dimonopoli oleh kekayaan aset hartanah mencecah 92 peratus. Kelompok 10% terkaya membentuk 40% agihan kekayaan.

Kira-kira 32% penduduk bandar tidak punya sebarang hartanah berbanding hanya 17% dalam kalangan penduduk luar bandar.

 

Diantara masaalah lain yang kita hadapi ialah lambungan harga makanan dan kos sara hidup tanpa henti, yang sentiasa mencuri kuasa beli pendapatan bulanan kita, himpitan hidup yang tidak pastinya setiap keluarga cukup makan setiap hari, mahasiswa semasa belajar makan hanya sekali sehari dan selepas belajar menganggur tidak punyai kerja, sektor IKS yang purata menjana 80% pekerjaan dalam sesebuah negara dianaktirikan sistem perbankan sekali gus menafikan cukupan kerja kepada anak muda negara dan menidakkan sumbangan output ekonomi negara. Bank SME yang dicanangkan sebagai penyelamat negara terbukti menghasilkan hanya kurang lebih 1% keperluan sektor IKS negara. Harga rumah yang menjadi mimpi ngeri pasangan anak muda.

 

Peningkatan bankrupsi pasangan muda akibat kegalakkan jualan kredit peribadi oleh bank bank termasuk bank bank Islam. Dalam kesempitan hidup dan hutang keliling pinggang, kad kredit dan hutang peribadi dihulur tanpa henti kemuka pasangan pasangan anak muda ini, dan apabila mereka kecundang menerimanya, dan kemudian gagal membayar hutang, mereka dipersalahkan kerana tidak pandai menguruskan kewangan walhal tidak terjumpa dimana mana kitab Nabi saw menggalak orang Islam jual hutang kepada orang Islam yang lain.

 

Mengapa wujud keadaan begini? Mengapa dunia kita dikemudi hutang dan tuntutan hutang, dan tidak oleh ekuiti dan hutang yang hanya bersifat menolong? Mengapa jurang miskin kaya yang sedang menjerut golongan dhaif. Mengapa saperti disebut diatas golongan kaya diMalaysia menguasai hampir 92% kekayaan negara? Mengapa diperingkat dunia pula 8 individu terkaya memilikki separuh kekayaan dunia. Tidak kah Allah swt menuntut dalam surah AlHasyr ayat 7 bahawa “…..supaya harta itu tidak hanya beredar diantara orang kaya dari kalangan kamu…”. Dan tidak kah Nabi saw bersabda dalam mafhum hadith “ Setiap piutang yang mendatangkan manfaat, maka itu adalah riba” Bagaimana mungkin boleh wujud tersergam gah sebuah industri yang mendatangkan keuntungan dari hutang? Darimanakah datangnya industri perbankan? Adakah ia wujud pada zaman Nabi saw dan sahabat? Bagaimana kita yakin ia suatu industri yang diredhai semasa ia menderhakai perintah Nabi saw dalam hadith diatas? Mengapa tidak kita tonjolkan industri yang berpaksi diatas ekuiti, dan elak meniti dipinggir sebuah industri yang menerima amaran perang dari Allah dan Rasulnya?

 

Karena kita tiada pilihan? Kerana kita tidak mampu memikir alternatifnya? Sungguh dangkal dan cetek ilmu umat Muhammad saw kalau itu alasan yang diberi. Apa jawapan kita diakhirat nanti apabila kita disoal Allah swt tentang untuk apa kita telah buat dengan ilmu yang telah diberi kepada kita?!

 

Sudah tiba masanya kita kenal diri kita. Kalau kita tidak cuba kenal diri kita, kita tidak ubah saperti umat barat yang dilakarkan diperenggan permulaan diatas. Acap kali kita ditegur oleh AlQuran, mafhum “Tidak kah kamu mahu berfikir?” acap kali kita gagal mengguna fungsi akal yang telah dianugerah oleh Allah swt.

 

Sacelik sahaja kita dibumi Malaysia ini kita dapati wujud suatu institusi bernama bank yang menjalankan aktiviti yang diistihar perang oleh Allah swt dan RasulNya dalam Surah AlBaqarah ayat 249. Kita tidak jelek dengan institusi ini yang seharusnya kita jelek sebagai seorang beriman. Malah kita berurusan dengan institusi ini seoalah ia kedai dobi dan dan kedai kopi yang tiada salah melangganinya. Mengapa begitu , bukan kah kita mengaku kita orang yang beriman? Orang beriman pasti agungi setiap perintah dalam AlQuran dan Sunnah. Mengapa kita berani melakukan suatu perkara yang diancam perang oleh Allah dan Rasul?

 

Baiklah kita dibelenggu penjajah Inggeris buat masa itu. Kita merdeka pada tahun 1957. Hanya 26 tahun selepas merdeka baru kita tunjuk usaha untuk meninggal riba. Selama 26 tahun kita bergelumang dengan riba tanpa rasa sedikit bersalah. Hasil sebuah kongres bumiputra yang berlaku beberapa tahun sebelum itu maka wujudlah sebuah institussi dinegara kita bernama Bank Islam. Tugas diserah kepada beberapa individu Melayu Muslim yang berpengalaman dalam perbankan konvensyional untuk tubuh bank Islam. Ini suatu lakaran sejarah juga dimana sekumpulan orang Islam berjaya menapak sebuah bank Islam didunia yang dikuasai bank konvensyional. Tidak pula kerajaan terus mengharamkan bank konvesyional setelah tertubuhnya bank Islam, paling tidak kepada umat Islam. Perkara tersebut dibiarkan kepada pilihan peribadi setaraf dengan minum arak dan seumpamanya.

 

Dari sini kita telah mula lihat putik kecundang dan kemelesetan dari sasaran sebenar institusi berikut. Memandang balik kebelakang, kita soal juga mengapa bentuk bank komersial dipilih untuk menjadi perintis sebuah institusi yang ditugas pelopori muamalat Islam? Malah bukan kah model Tabung Haji yang lebih mirip kepada Bank Islam yang dikehendaki. Bagaimanapun kita simpan baik sangka terhadap golongan perintis ini yang kita tidak ketahui onak dan duri yang mereka lalui. Namun mereka berjaya bertapak didunia perbankan konvensyional walaupun dengan model yang sangat diragui.

 

Seandainya kita sanggup memberi maaf kepada golongan perintis awal yang terpaksa menerima model yang kurang cocok untuk kemudi muamalat Islam kita seharusnya tidak boleh beri maaf kepada kumpulan perbankan Islam masakini yang telah gagal mengislah perbankan Islam kepada tahap yang lebih tepat menepati tuntutan Islam. Seandainya golongan awal mengguna pembiayaan hutang untuk bertapak, golongan masakini mengukuhkan pembiayaan hutang sebagai model tetap perbankan Islam. Ini merupakan suatu langkah yang tidak dapat dimaaf golongan ini. Pahit maung perjuangan golongan awal tidak ditahsiniyatkan sebagaimana wajib mereka lakukan. Maka tercemuhlah perbankan Islam saperti kita dengari diseantaro dunia.

 

Maka ada sebahagian masyarakat membela perbankan Islam yang berselimutkan hutang sekarang dengan mengatakan tindakan mereka disokongi cerdik pandai ugama. Ya disini mungkin kita sebagai umat perlu kenal diri apa telah berlaku kepada bangsa kita satelah dijajahi Inggeris. Penjajahan Inggeris keatas negara dan bangsa kita bukan setakat mengaut pulang hasil mahsul tanahair kita, tetapi ia melibati porak perandaan minda kita dengan sistem sekular amalan mereka.

Kita harus kenal sejarah Eropah untuk kita faham apa yang telah dilakukan oleh mereka terhadap kita. Oleh sebab kebencian mereka terhadap pemerintahan gereja diEropah pada abad ke15 mereka telah tumbangkan pemerintahan gereja ini dan digantikan dengan apa yang dipanggil pemerintahan sekular. Dibawah pemerintahan sekular segala bentuk ugama dan ciri ciri wujudnya Pencipta dihapuskan dari kehidupan mereka dan dari dalam sistem pemerintahan, perniagaan, sosial, kehidupan harian dan dalam sistem pendidikkan mereka. Ilmu ilmu subjek Universiti mereka digilap bersih dari segala unsur ketuhanan dan penciptaan oleh Pencipta. Sistem pendidikkan dua aliran terpisah ini dibawa dan diimplimentasikan dinegara kita. Maka terhasillah aliran Shariah yang tidak menguasai ilmu dunia, dan aliran ilmu dunia yang tidak menguasi ilmu Syariah.

 

Ini mendatangkan masaalah kepada kita. Dunia Islam yang terkenal dengan umat Syumul yang serentak menguasai Quran dan Sunnah, dan menguasai Ilmu Dunia tiada lagi wujud saperti terwujudnya manusia manusia terpilih ini pada zaman keemasan Islam diabad ke15, zaman dimana umat Islam pelopori dunia dalam ilmu sains dan teknologi bersandarkan keupayaan mereka mengupas kitab yang dianugerah Allah swt.

 

Kesannya kepada dunia sekarang ialah kepada pakar khusus Shariah inilah industri perbankan menaruh harap untuk bimbing mereka dari segi patuhan Shariah industri perbankan Islam. Oleh kerana pakar Shariah yang dirujuk ini tidak benar benar menguasai selok belok sistem dunia moden maka tersimpang juga kebanyakkan dari nasihat mereka. Kita tegaskan bahawa bukan mereka tidak ‘arif ilmu Shariah tetapi sebenarnya mereka tidak ‘arif ilmu dunia.

 

Sebagai contoh suatu perkara yang sangat dikhuatiri oleh mereka yang memahami, ialah keengganan golongan Shariah ini menerima hakikat bahawa bank mencipta duit apabila ia memberi pinjaman atau pembiayaan. Walhal perkara ini telah disahkan oleh Bank Pusat England, yakni Bank of England, dan juga Bank Pusat Amerika dan Bank Pusat Eropah. Ada juga sebahagian yang mengatakan bahawa Bank Bank Islam terkeluar dari golongan bank yang mencipta duit kerana mereka mengamal prinsip yang berbeza dengan bank konvensyional. Ini jelas membukti kurang penguasaan ilmu dunia mereka – rata rata kita semua faham setiap bank atau institusi yang sekali gus boleh menawar akaun semasa dan memberi pembiayaan adalah pencipta duit, walaupun pembiayaan itu bergelar mudarabah dan musyarakah.

 

Jadi apakah masaalah bank boleh mencipta duit apabila mereka memberi pinjaman atau pembiayaan? Kita turunkan disini Kenyataan Akhbar Gerakan Keadilan Monetari bertarikh 28hb Jun 2018 untuk sama sama kita renungi apa masaalahnya apabila bank dibenarkan mencipta duit. http://mmj.my/

 

KENYATAAN AKHBAR OLEH GERAKAN KEADILAN MONETARI
28 JUN 2018

 

Baru-baru ini kita dimaklumkan bahawa Kerajaan sedang menimbang untuk menukar mata wang kertas sebagai salah satu strategi melawan rasuah seperti mana yang dilakukan oleh negara India kebelakangan ini.

 

Tatkala isu mata wang negara sedang giat diperbincangkan ini, Gerakan Keadilan Monetari, satu pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk hasrat Reformasi Sistem Monetari demi lebih kesejahteraan rakyat Malaysia, merasakan bahawa waktu telah tiba bagi negara Malaysia untuk mempertimbangkan reformasi sistem monetarinya.

Reformasi atau pembaharuan sistem Monetari yang diperjuangkan ini bertujuan untuk membanteras inflasi kekal antara lain kenaikkan harga makanan dan kelambungan harga rumah, menghalang dan membetulkan kembali jurang kemiskinan yang semakin meluas hari demi hari, menambah output ekonomi sedia ada, menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia dan graduan sambil mengambil inisiatif terhadap isu-isu monetari antarabangsa yang lain.

 

Fakta yang tidak diketahui ramai adalah bahawa kita di Malaysia seperti negara-negara lain di seluruh dunia, adalah di bawah sistem di mana hak penciptaan wang telah diserah kepada sektor swasta, dan bukan hanya kerajaaan. Pada waktu kita berpendapat bahawa wang di pasaran dicipta sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia, namun realitinya Bank Negara hanya mencipta lebih kurang 5% daripada keseluruhan jumlah wang negara. Penciptaan 95% jumlah wang telah diserah dan diswastakan kepada sektor swasta. Apabila sektor swasta mencipta wang mereka tidak mengambil kira kebimbangan dan kepentingan orang ramai seperti inflasi dan pengangguran; mereka di sektor swasta hanya bermotifkan keuntungan sendiri yang merupakan akar kepada masalah-masalah yang dinyatakan di atas.

 

Siapakah sektor swasta di dalam negara ini yang mencipta 95% wang kita?

Jawapannya ialah Bank-Bank . Bank-bank mencipta wang baru semasa mereka membuat pinjaman ataupun pembiayaan. Fenomena bank mencipta wang dengan menggunakan kaedah ini telahpun dibuktikan dan disahkan oleh Bank of England, The Federal Reserve (Bank Pusat Amerika) dan Bank Pusat Eropah.

 

Penciptaan wang yang berleluasa oleh bank-bank ini yang hanya mengutamakan keuntungan sendiri, telah mengakibatkan anomali-anomali yang disenaraikan diatas seperti inflasi kekal yang mendatangkan isu harga makanan naik dan harga rumah melambung, jurang kemiskinan yang semakin meluas – golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin, sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS/SME) yang tidak diberi keutamaan untuk diberi pinjaman yang seterusnya memberi kerugian yang besar dari segi output ekonomi dan menghasilkan kadar pengangguran belia dan graduan yang tinggi.

 

Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan, sebagai contoh di United Kingdom, dimana statistik berikut juga mencerminkan kebanyakan Negara lain. Sektor perbankan hanya menyalur 16% pinjaman untuk ekonomi sebenar (“Real economy”) – 84% daripada pinjaman bank adalah untuk perumahan, bangunan komersial dan sektor kewangan.

 

Maka apabila sektor yang diberi tanggungjawab untuk mencipta wang tidak menyalurkan wang itu kepada ekonomi sebenar, maka barangan dan perkhidmatan tidak terhasil oleh wang-wang baru ini. Kesudahannya adalah inflasi ‘am dan inflasi gelembung dalam ekonomi yang mendatangkan inflasi ‘am terhadap harga makanan dan kos sara hidup, dan inflasi gelembung terhadap rumah dan hartanah.

 

Suatu lagi perkara yang janggal di dunia ini ialah di mana hanya 15% pinjaman bank disalurkan kepada sektor IKS/SME yang mencipta purata 80% pekerjaan di kebanyakan negara. Ini memberi impak terhadap kadar pengangguran yang tinggi di kalangan belia dan graduan di serata dunia dan juga menghadkan kemampuan sebenar output ekonomi yang mampu dijana oleh IKS/SME apabila sektor ini tidak dibiayai dengan sebaiknya.

Dalam konteks Malaysia, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2005, satu kajian yang nampaknya tidak diulangi sejak tahun tersebut, menunjukkan bahawa sektor perbankan hanya menyumbang 15% daripada jumlah pembiayaan yang diperlukan SME. Daripada angka 15% ini, hanya 3% daripada Institusi Kewangan Pembangunan (Development Financial Institutions), di mana SME Bank adalah salah satu daripadanya.

 

Pengiblisan perkataan ‘risiko’ oleh sektor bank juga telah menyumbang kepada penghalangan sektor IKS/SME untuk menerima pembiayaan dan seterusnya menghasilkan pengangguran di kalangan belia dan graduan. Apabila bank ditanyakan soalan mengapa mereka begitu sukar untuk memberi pinjaman kepada sektor IKS/SME, jawapan mereka setiap kali adalah sama, iaitu kerana terdapatnya ‘risiko’ dan IKS/SME tidak memiliki modal dan cagaran yang mencukupi. Gerakan Keadilan Monetari percaya bahawa kenyataan-kenyataan ini hanya benar apabila bank-bank menghadkan diri mereka untuk hanya memberi pinjaman atau pembiayaan hutang.

 

Gerakan Keadilan Monetari mempercayai bahawa masalah-masalah risiko, modal dan cagaran yang tidak mencukupi ini akan selesai sekiranya pihak bank-bank membuat anjakan paradigma untuk membuat pelaburan ekuiti IKS/SME untuk mengganti pembiayaan hutang. Sebagai peringatan suka kami nyatakan bahawa didalam Muamalat Islam, Qaiddhah Fiqhiyyah paling tepat, yang kini jelas dikesampingkan, ialah AlGhunm bi AlGhurm, yang membawa maksud keuntungan mengiringi risiko. Yakni kita tidak layak menerima keuntungan melainkan kita sanggup menghadapi risiko.

Masalah risiko akan mampu diselesaikan jika kesemua bank bank ini memiliki jumlah pegawai pelaburan yang mencukupi untuk memantau kesemua pelaburan ekuiti mereka yang telah dibuat didalam SME. Masalah kos gaji pegawai pelaburan ini boleh diatasi dengan cara membayar mereka dengan elaun asas dan perkongsian untung dengan bank.

 

Soal di manakah sumber untuk mendapatkan pegawai pelaburan ini jawapannya ialah dari jumlah graduan menganggur yang sangat tinggi sekarang ini.

 

Untuk melatih mereka menjadi pegawai pelaburan pula, satu inisiatif bersifat pembangunan negara boleh dibuat dengan mudah dengan mewujudkan Akademi Latihan Khas di universiti-universiti dan dilatih oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada golongan professional dan usahawan dan bekas usahawan

Solusi ini bukan sahaja akan menghasil pekerjaan kepada graduan-graduan menganggur malah ia juga akan merangsang pertumbuhan pekerjaan dan output ekonomi yang telah dimulakan dengan langkah pertama iaitu meningkatkan pembiayaan kepada sektor SME.

 

Jika bank-bank adalah pencipta wang yang tidak baik, dan sistem sedia ada hanyalah menyumbang ke arah inflasi dan antara lainnya meluaskan lagi jurang kemiskinan, apakah Solusinya?

 

Gerakan Keadilan Monetari mempunyai Kertas Kerja yang terperinci berkenaan Projek bersifat pembangunan negara ini, iaitu Solusi Reformasi Monetari yang akan membasmi masalah inflasi kekal, menguncupkan kembali jurang kemiskinan, menambah output ekonomi, membanteras pengangguran di kalangan belia dan graduan, sambil memberi tumpuan kepada masalah-masalah monetari lain yang bersifat antarabangsa.

 

Dengan rendah diri Gerakan Keadilan Monetari memohon untuk menyumbang khidmat kepada Negara.

 

Gerakan Keadilan Monetari Malaysia (Movement for Monetary Justice Malaysia) Secretariat,
Kuala Lumpur.

 

 

Ada juga golongan yang mengatakan bahawa kita terikat pada fatwa Majma’ Fiqh 1986 berkaitan keharusan pengunaan duit fiat. Kita tidak persoal fatwa ini dari segi hukum. Yang kita ingin bangkitkan ialah pada tahun 1986 tidak begitu banyak kepincangan duit fiat difahami oleh dunia berbanding dengan tahun 2018. Sudah tiba masanya desakan dibuat untuk kaji semula fatwa ini.

 

 

 

Dan ada juga golongan yang mengatakan tiada alternatif untuk sistem monetari dan kita tidak mampu mengubahnya, oleh yang demikian kita terima sahaja keadaan dan sistem sediada. Inilah pendapat yang paling malang sekali yang akan mengumpan kemurkaan Allah swt di hari akhir. Semenjak bila Pencipta kita mewajibkan kejayaan keatas makhluknya? Bukankah yang dipinta dari kita hanya ikhtiar, kejayaan tetap ditangan Allah swt. Bukan sahaja pendirian ini bertentangan dengan tuntutan ugama malah akibatnya melemahkan semangat juang umat lain lebih mengundang durjana kepada yang berpendirian begitu. Percayalah sebagaimana setiap penyakit ada ubatnya, setiap permaslahan ada penyelesaiannya. Didalam sistem monetari domestik mahupun antarabangsa percayalah ada penyelesaiannya, dan in sya Allah wujud ahli umat yang mampu mengendali penyelesaian tersebut, mereka cuma kepingin peluang untuk melaksanakannya.

 

Apakah pengistiharan perang Allah swt dan Rasul terhadap pengamal riba berkisar hanya diatas bunga terhadap pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi? Tidakkah Nabi saw dalam khutbah wida’ menekan pentingnya umatnya meninggal dan melawan riba. Tidakkah Nabi saw menuntut mereka yang mendengar khutbah sayu tersebut menyampaikan nya kepada generasi mendatang? Dan tidak kah Nabi saw sebut mafhumnya bahawa yang mendengar kemudian mungkin lebih memahami dari mendengar sekarang?

 

Percayalah bahawa amaran Nabi saw tersebut adalah berkaitan musuh durjana Islam yang mengunung kekayaan dengan amalan riba dan amalan mewujudkan sistem monetari antarabangsa yang kian mengukuhkan kekayaan mereka setiap kali sistem tersebut digunapakai dunia termasuk oleh negara negara Islam. Percayalah akibat pemilikkan dan penguasaan diatas sistem monetari dan perbankan inilah mereka begitu berkuasa didunia sehingga hampir tercapai kemuncak cita cita mereka untuk menguasai AlAqsa.

 

Apakah jawapan kita kepada tuntutan Quran, mafhumnya Tidak kah kamu mahu berfikir? Cukupkah alasan alasan cetek kita berhadapan isu yang terlalu besar ini? Apakah keahlian kita mampu mengubah keadaan atau sudah tiba masanya kita serahkan tugas kepada yang lebih ahli, sesuai dengan sabda Nabi saw dalam hadith yang berbunyi, mafhumnya “…Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *