KENYATAAN AKHBAR OLEH GERAKAN KEADILAN MONETARI 28 JUN 2018

KENYATAAN AKHBAR OLEH GERAKAN KEADILAN MONETARI
28 JUN 2018

Baru-baru ini kita dimaklumkan bahawa Kerajaan sedang menimbang untuk menukar mata wang kertas sebagai salah satu strategi melawan rasuah seperti mana yang dilakukan oleh negara India kebelakangan ini.

Tatkala isu mata wang negara sedang giat diperbincangkan ini, Gerakan Keadilan Monetari, satu pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk hasrat Reformasi Sistem Monetari demi lebih kesejahteraan rakyat Malaysia, merasakan bahawa waktu telah tiba bagi negara Malaysia untuk mempertimbangkan reformasi sistem monetarinya.

Reformasi atau pembaharuan sistem Monetari yang diperjuangkan ini bertujuan untuk membanteras inflasi kekal antara lain kenaikkan harga makanan dan kelambungan harga rumah, menghalang dan membetulkan kembali jurang kemiskinan yang semakin meluas hari demi hari, menambah output ekonomi sedia ada, menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia dan graduan sambil mengambil inisiatif terhadap isu-isu monetari antarabangsa yang lain.

Fakta yang tidak diketahui ramai adalah bahawa kita di Malaysia seperti negara-negara lain di seluruh dunia, adalah di bawah sistem di mana hak penciptaan wang telah diserah kepada sektor swasta, dan bukan hanya kerajaaan. Pada waktu kita berpendapat bahawa wang di pasaran dicipta sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia, namun realitinya Bank Negara hanya mencipta lebih kurang 5% daripada keseluruhan jumlah wang negara. Penciptaan 95% jumlah wang telah diserah dan diswastakan kepada sektor swasta. Apabila sektor swasta mencipta wang mereka tidak mengambil kira kebimbangan dan kepentingan orang ramai seperti inflasi dan pengangguran; mereka di sektor swasta hanya bermotifkan keuntungan sendiri yang merupakan akar kepada masalah-masalah yang dinyatakan di atas.

Siapakah sektor swasta di dalam negara ini yang mencipta 95% wang kita?

Jawapannya ialah Bank-Bank . Bank-bank mencipta wang baru semasa mereka membuat pinjaman ataupun pembiayaan. Fenomena bank mencipta wang dengan menggunakan kaedah ini telahpun dibuktikan dan disahkan oleh Bank of England, The Federal Reserve (Bank Pusat Amerika) dan Bank Pusat Eropah.

Penciptaan wang yang berleluasa oleh bank-bank ini yang hanya mengutamakan keuntungan sendiri, telah mengakibatkan anomali-anomali yang disenaraikan diatas seperti inflasi kekal yang mendatangkan isu harga makanan naik dan harga rumah melambung, jurang kemiskinan yang semakin meluas – golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin, sector Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS/SME) yang tidak diberi keutamaan untuk diberi pinjaman yang seterusnya memberi kerugian yang besar dari segi output ekonomi dan menghasilkan kadar pengangguran belia dan graduan yang tinggi.

Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan, sebagai contoh di United Kingdom, dimana statistik berikut juga mencerminkan kebanyakan Negara lain. Sektor perbankan hanya menyalur 16% pinjaman untuk ekonomi sebenar (“Real economy”) – 84% daripada pinjaman bank adalah untuk perumahan, bangunan komersial dan sektor kewangan.

Maka apabila sektor yang diberi tanggungjawab untuk mencipta wang tidak menyalurkan wang itu kepada ekonomi sebenar, maka barangan dan perkhidmatan tidak terhasil oleh wang-wang baru ini. Kesudahannya adalah inflasi ‘am dan inflasi gelembung dalam ekonomi yang mendatangkan inflasi ‘am terhadap harga makanan dan kos sara hidup, dan inflasi gelembung terhadap rumah dan hartanah.

Suatu lagi perkara yang janggal di dunia ini ialah di mana hanya 15% pinjaman bank disalurkan kepada sektor IKS/SME yang mencipta purata 80% pekerjaan di kebanyakan negara. Ini memberi impak terhadap kadar pengangguran yang tinggi di kalangan belia dan graduan di serata dunia dan juga menghadkan kemampuan sebenar output ekonomi yang mampu dijana oleh IKS/SME apabila sektor ini tidak dibiayai dengan sebaiknya.

Dalam konteks Malaysia, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2005, satu kajian yang nampaknya tidak diulangi sejak tahun tersebut, menunjukkan bahawa sektor perbankan hanya menyumbang 15% daripada jumlah pembiayaan yang diperlukan SME. Daripada angka 15% ini, hanya 3% daripada Institusi Kewangan Pembangunan (Development Financial Institutions), di mana SME Bank adalah salah satu daripadanya.

Pengiblisan perkataan ‘risiko’ oleh sektor bank juga telah menyumbang kepada penghalangan sektor IKS/SME untuk menerima pembiayaan dan seterusnya menghasilkan pengangguran di kalangan belia dan graduan. Apabila bank ditanyakan soalan mengapa mereka begitu sukar untuk memberi pinjaman kepada sektor IKS/SME, jawapan mereka setiap kali adalah sama, iaitu kerana terdapatnya ‘risiko’ dan IKS/SME tidak memiliki modal dan cagaran yang mencukupi. Gerakan Keadilan Monetari percaya bahawa kenyataan-kenyataan ini hanya benar apabila bank-bank menghadkan diri mereka untuk hanya memberi pinjaman atau pembiayaan hutang.

Gerakan Keadilan Monetari mempercayai bahawa masalah-masalah risiko, modal dan cagaran yang tidak mencukupi ini akan selesai sekiranya pihak bank-bank membuat anjakan paradigma untuk membuat pelaburan ekuiti IKS/SME untuk mengganti pembiayaan hutang. Sebagai peringatan suka kami nyatakan bahawa didalam Muamalat Islam, Qaiddhah Fiqhiyyah paling tepat, yang kini jelas dikesampingkan, ialah AlGhunm bi AlGhurm, yang membawa maksud keuntungan mengiringi risiko. Yakni kita tidak layak menerima keuntungan melainkan kita sanggup menghadapi risiko.

Masalah risiko akan mampu diselesaikan jika kesemua bank bank ini memiliki jumlah pegawai pelaburan yang mencukupi untuk memantau kesemua pelaburan ekuiti mereka yang telah dibuat didalam SME. Masalah kos gaji pegawai pelaburan ini boleh diatasi dengan cara membayar mereka dengan elaun asas dan perkongsian untung dengan bank.

Soal di manakah sumber untuk mendapatkan pegawai pelaburan ini jawapannya ialah dari jumlah graduan menganggur yang sangat tinggi sekarang ini.

Untuk melatih mereka menjadi pegawai pelaburan pula, satu inisiatif bersifat pembangunan negara boleh dibuat dengan mudah dengan mewujudkan Akademi Latihan Khas di universiti-universiti dan dilatih oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada golongan professional dan usahawan dan bekas usahawan

Solusi ini bukan sahaja akan menghasil pekerjaan kepada graduan-graduan menganggur malah ia juga akan merangsang pertumbuhan pekerjaan dan output ekonomi yang telah dimulakan dengan langkah pertama iaitu meningkatkan pembiayaan kepada sektor SME.

Jika bank-bank adalah pencipta wang yang tidak baik, dan sistem sedia ada hanyalah menyumbang ke arah inflasi dan antara lainnya meluaskan lagi jurang kemiskinan, apakah Solusinya?

Gerakan Keadilan Monetari mempunyai Kertas Kerja yang terperinci berkenaan Projek bersifat pembangunan negara ini, iaitu Solusi Reformasi Monetari yang akan membasmi masalah inflasi kekal, menguncupkan kembali jurang kemiskinan, menambah output ekonomi, membanteras pengangguran di kalangan belia dan graduan, sambil memberi tumpuan kepada masalah-masalah monetari lain yang bersifat antarabangsa.

Dengan rendah diri Gerakan Keadilan Monetari memohon untuk menyumbang khidmat kepada Negara.

Gerakan Keadilan Monetari Malaysia (Movement for Monetary Justice Malaysia) Secretariat,
Kuala Lumpur.
Website: mmj.my
Email: monetaryjustice@gmail.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *