Riba, Rasuah, Sukan dan Kesan Kepada Ekonomi Negara – Pengajaran dari Argentina *Oleh Prof. Mohd Nazari Ismail, Biro Penyelidikan IKRAM*

Riba, Rasuah, Sukan dan Kesan Kepada Ekonomi Negara – Pengajaran dari Argentina

Prof. Mohd Nazari Ismail, Biro Penyelidikan IKRAM

Baru-baru ini negara begitu teruja dengan kejayaan beberapa orang atlet paralimpik negara yang memenangi beberapa pingat emas di pesta sukan paralimpik serta kejayaan beberapa atlet negara yang memenangi pingat perak di sukan Olimpik di Brazil. Kita boleh bayangkan bagaimana tahap kegembiraan rakyat Malaysia jika atlet Malaysia satu hari nanti berjaya memenangi pingat emas di sukan Olimpik atau jika pasukan bolasepak Malaysia mampu sampai ke peringkat akhir Piala Dunia. Ramai yang mungkin akan merasai paling bahagia dan bangga tanpa menyedari bahawa sebenarnya kesejahteraan rakyat langsung tidak ada kena mengena dengan kejayaan sukan. Bahkan kadangkala kejayaan sukanlah yang membuat rakyat tidak sedar akan masalah yang dihadapi oleh negara. Dalam artikel ini akan dikongsikan pengalaman negara Argentina, iaitu sebuah negara yang sangat berjaya dalam sukan bolasepak kerana  pernah menjuarai kejohanan bolasepak Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1978 dan 1986. Namun rakyat mereka sengsara akibat masalah ekonomi dan akhirnya maruah negara juga terjejas akibat darinya.

Pada awal abad ke-20, Argentina adalah sebuah negara yang termasuk di kalangan lima terkaya di dunia, Antara industri yang menyumbang kepada kejayaan ekonominya ialah pertanian, khususnya sektor daging lembu, gandum dan hasil-hasil ladang yang lain yang dijalankan oleh tenaga kerja yang berpendidikan. Kebanyakan ekspotnya adalah ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Malangnya kebergantungan kepada pasaran Amerika dan Eropah mengakibatkan ekonomi Argentina terjejas teruk apabila Amerika dan Eropah dilanda krisis ekonomi yang dipanggil `The Great Depression’ yang telah berlaku di antara tahun 1929 sehingga 1939. Sistem Riba yang diamalkan di Amerika dan Eropah telah menghasilkan sektor kewangan yang besar di sana yang telah memberi hutang kepada peminjam yang kemudiannya `terlebih’ melabur dalam pasaran saham dan harta tanah. Sudah pasti pasaran yang terlebih berkembang akan merudum akhirnya dan itulah yang telah berlaku. Penguncupan ekonomi Amerika dan Eropeh yang mendadak mengakibatkan ekspot Argentina turut menjunam dan akibatnya ekonomi Argentina juga merudum. Di samping itu, pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai ekspot dan impot juga menjunam.

Keadaan ekonomi yang teruk seterusnya telah mengakibatkan krisis politik yang serius di Argentina sehingga bermulalah satu era baru di negara tersebut di mana pihak tentera telah campur tangan dengan aktif dalam pentadbiran negara. Ianya dimulai dengan rampasan kuasa oleh General José Félix Uriburu yang menggulingkan presiden Hipólito Yrigoyen pada 6 September 1930. Seterusnya akibat dari keadaan ekonomi yang sentiasa tidak stabil,  telah berlaku lima lagi rampasan kuasa oleh tentera iaitu pada tahun 1943, 1955, 1962, 1966 and 1976. Dalam era itu, yang berselang-seli dengan pemerintahan demokratik oleh beberapa Presiden dari kalangan orang awam yang dilantik, ekonomi Argentina terus meghadapi masalah.

Pada tahun 1950an, Argentina telah ditadbir oleh Presiden Juan Peron, pemimpin yang populis yang mendapat sokongan dari golongan miskin dan pekerja. Mereka mendapat banyak manfaat dan kesatuan pekerja juga sangat berpengaruh. Ekonomi berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Namun sistem perbankan yang diamalkan di Argentina juga mula menunjukkan kesan negatif yang semakin teruk. Inflasi melambung naik menjadi 40 peratus dan rakyat merana.

Di peringkat dunia, sistem kewangan riba yang diamalkan di merata tempat membolehkan aktiviti spekulasi dalam berbagai sektor termasuk komoditi makanan. Oleh itu ada kalanya harga naik mendadak dan ada kalanya ia turun dengan cepat juga. Di hujung pentadbiran Peron, harga komoditi telah jatuh teruk dan akibatnya sektor pertanian Argentina juga terkesan teruk.  Di samping itu, polisi Peron memiliknegarakan landasan kereta api dan beberapa aset lain yang sebelum itu dimiliki oleh British  menimbulkan kemarahan ahli-ahli perniagaan. Akibatnya kadar pelaburan di Argentina juga merosot.

Golongan pekerja sengsara dan melancarkan mogok umum. Pada tahun 1955 tentera Argentina mengambil alih kuasa. Namun pemimpin tentera yang mengambil alih kuasa tidak faham bahawa di dalam sistem ekonomi yang bergantung kepada sistem perbankan yang berkembang pesat, bukan sahaja tahap hutang meningkat dengan cepat, malah  masalah ekonomi seperti kos kehidupan dan inflasi juga akan meningkat cepat. Oleh itu tidak hairanlah, semenjak awal tahun 1976, masalah inflasi negara mereka telah bertambah teruk dan telah meningkat ke tahap 600 peratus setahun.

Argentina terus meraih kejayaan dalam bidang bolasepak dengan menjadi juara dunia pada tahun 1978 sedangkan hutang luar negara terus merosot. Sektor perbankan juga berkembang pesat. Akibatnya kos kehidupan meningkat sementara kerajaan pula tidak kemampuan untuk membantu rakyat. Kemelut ekonomi menyusul sekali lagi dan akibatnya pihak tentera merampas kuasa sekali lagi. Namun pemerintah tentera juga tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat. Golongan berhaluan kiri atau sosiali menjadi lebih lantang memprotes terhadap tentera pula. Ini menyebabkan kerajaan tentera bertindak ganas terhadap mereka. Ramai dari pemimpin dari kalangan ini telah dibunuh oleh pemerintah tentera dengan kejam. Fasa ini dikenali sebagai `Perang Kotor’ atau Dirty War.
Untuk mengalihkan perhatian rakyat yang sedang marah akibat daripada masalah ekonomi yang tidak dapat diselesaikan, pada tahun 1982, pihak tentera di bawah pimpinan General Galtieri melancarkan serangan ke atas Kepulauan Falkland, iaitu sebuah tanah jajahan British yang didakwa dimiliki oleh Argentina dan dipanggil Malvinas. Britain kemudiannya telah menyerang balas dan tentera Argentina telah ditewaskan dengan mudah. Semenjak kekalahan itu, pengaruh tentera menjadi lemah dan tiada lagi campur tangan di dalam politik negara dan era demokrasi kembali hidup di Argentina.

Pada tahun 1983, Raul Alfonsin telah dilantik menjadi Presiden. Namun sistem ekonomi yang bergantung kepada industri hutang atau perbankan yang terus berkembang mengakibatkan rakyat terus sengsara. Di bawah Presiden Raul Alfonsín, pendapatan kerajaan tidak meningkat. Oleh itu, kerajaan terpaksa berhutang untuk memastikan gaji penjawat awam dapat dinaikkan.

Argentina sekali lagi menjuarai pertandingan bolasepak Piala Dunia pada tahun 1986 dan bintang bola sepaknya bernama Diego Maradona menjadi kebanggaan semua rakyat Argentina dalam keadaan ekonomi yang bertambah serius. Pada tahun 1989, inflasi telah mencapai kadar 5,000 peratus setahun. Ini bermakna jika sebungkus makanan berharga 1 peso pada awal tahun, ia akan meningkat menjadi 55 peso pada akhir tahun. Sudah tentu ini akan membuat ramai dari kalangan rakyat, terutama dari golongan miskin akan merana. Keadaan sosial menjadi gawat dan tunjuk perasaan berlaku di sana sini. Banyak pasar raya yang diserbu oleh perusuh yang lapar akibat kemiskinan hidup.

Presiden Carlos Menem mengambil alih kuasa pada tahun 1989 dan yakin dapat mengatasi masalah ekonomi negara dengan melaksanakan polisi neo-liberal. Beliau telah menggalakkan kemasukan pelaburan asing, menurunkan tarif import, dan menswastakan syarikat milik kerajaan yang tidak efisien. Kadar bunga dipertingkatkan dan nilai Peso ditambatkan ke nilai Dolar Amerika dan dengan itu inflasi atau tahap harga dapat dikurangkan. Argentina telah dinobatkan sebagai negara contoh dari segi pengamal pasaran bebas oleh Tabung Kewangan Antarabangsa IMF. Hal ini tidak menghairankan kerana kerajaan Argentina telah membuka sektor kewangan kepada syarikat luar dan kerjaan juga banyak berhutang dari institusi kewangan dari luar negara terutama dari Amerika Syarikat. Namun polisi bergantung kepada pemiutang luar untuk merangsangkan ekonomi Argentina adalah pendekatan yang membahayakan dalam jangka panjang kerana beban hutang luar satu hari akan melumpuhkan negara. Tambahan pula Presiden Carlos Menem adalah juga seorang pemerintah yang korup dan gagal mengawal perbelanjaan kerajaan. Namun rakyat Argentina yang sebok dengan kejayaan Argentina menempa tempat ke perlawanan akhir pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun 1990 gagal menyedari keadaan bahaya ini.

Pentadbiran Carlos Menem berakhir pada tahun 1999 dalam  keadaan ekonomi Argentina yang sangat tenat dengan hutang luar negara begitu tinggi hingga menakutkan pelabur-pelabur yang bimbang akan kemampuan kerajaan Argentina membayar balik hutangnya. Ekonomi Argentina juga terkesan akibat dari krisis kewangan di Asia Timur pada tahun 1997 dan krisis kewangan Rusia pada tahun 1998 yang juga diakibatkan oleh masalah hutang luar yang tinggi. Fenomina pemilik modal tergesa-gesa keluar dari ekonomi negara di Asia Tenggara pada tahun 1997 juga berlaku di Argentina pada tahun 1999. Ramai menjual matawang peso dan menukarnya kepada Dolar Amerika. Ramai juga yang merasa tidak yakin dengan keadaaan ekonomi Argentina dan berpusu-pusu ke bank untuk mengeluarkan deposit mereka.

Pihak berkuasa Argentina dalam usaha melindungi rezab dolarnya serta melindungi kestabilan system perbankannya telah membekukan pengeluaran deposit dari berjuta-juta akaun di bank-bank di seluruh Argentina termasuk deposit dalam matawang Dolar. Polisi ini membuat rakyat marah dan rusuhan teruk telah berlaku yang mengakibatkan puluhan nyawa terkorban.

Polisi menambat matawang kepada dolar yang Menem gunakan untuk menjinakkan inflasi akhirnya tidak lagi dapat dipertahankan. Kerajaan membuat keputusan menurunkan nilai Peso berbanding Dolar untuk mengawal keadaan. Namun polisi ini juga tidak berjaya untuk menyekat tekanan ke atas Peso. Nilai Peso kemudiannya telah dibiarkan bergerak bebas dan terus jatuh menjunam. Akibatnya kos impot menjadi mahal dan inflasi melonjak naik. Nilai hutang luar dalam matawang Dolar juga melonjak naik bila diterjemahkan dalam nilai Peso dan mengakibatkan kerajaan dan pihak lain yang berhutang mengalami masalah membayar balik hutang tersebut.

Pada tahun 2001, kadar pengangguran di Argentina telah meningkat melebihi 20 peratus. Masalah pengangguran, kebuluran dan kelaparan dan kekurangan zat makanan berleluasa walaupun sebenarnya negara berkenaan mempunyai ladang gandum dan soya yang banyak. Rusuhan dan rompakan yang merebak ke ibukota Argentina. Krisis politik memuncak dan memaksa Fernando de la Rua, meletak jawatan. Krisis politik Argentina pada waktu itu begitu teruk sehinggakan jawatan presiden telah disandang oleh lima individu dalam masa dua minggu.

Penguncupan ekonomi Argentina sehingga sebanyak 20% telah menyebabkan ribuan anak muda berhijrah ke Eropah untuk mencari rezeki. Kerajaan juga akhirnya telah gagal menjelaskan hutang sebanyak lebih daripada $ 100 bilion yang merupakan kes kegagalan membayar hutang (default) yang paling besar di dunia pada masa itu.

Akibatnya pasaran kewangan dunia telah berhenti membekalkan dana kepada Argentina. Pada tahun 2012, kapal tenteranya bernama `Libertad’ telah dirampas oleh pihak berkuasa Ghana semasa kapal tersebut sedang berlabuh di Ghana. Rampasan itu adalah arahan dari mahkamah Argentina yang menerima petisyen dari sebuah syarikat kewangan Amerika bernama NML Capital yang mendakwa Argentina gagal membayar hutang sebanyak $1 billion kepadanya.  Walaupun akhirnya kapal tersebut telah dilepaskan di atas arahan mahkamah PBB,  namun maruah negara Argentina telah jatuh di mata dunia.

Di Agentina, jutaan rakyat yang lapar merasa bingung kerana sektor pertanian di Argentina masih mengeluarkan mengeluarkan bijirin makanan. Namun kebanyakan dari bijirin tersebut disekspot keluar oleh pengusaha kerana harga di pasaran dunia adalah jauh lebih tinggi. Pada tahun 2008, kerajaan menaikkan cukai ke atas eskpot bijiran untuk memperolehi sumber kewangan serta untuk meredakan kemarhan rakyat. Tetapi langkah ini membuat pengusaha ladang berang kerana polisi menambahkan kos kepada ekspot. Tambahan pula, ramai dari pengusaha ini yang berhutang dengan bank dan perlu membayar balik hutang tersebut melalui pendapatan yang diperolehi dari ekspot ke luar negara.

Ekonomi negara Argentina masih tenat sehingga ke hari ini. Kerajaan Argentina di bawah Presiden Cristina Kirchner yang mentadbir dari tahun 2007 sehingga 2015 sering memanipulasikan maklumat ekonomi atau tidak mengakui kesahihan maklumat ekonomi yang menunjukkan prestasi ekonomi negara yang teruk. Cristina Kirchner juga mempunyai reputasi sebagai pemimpin yang korup dan tidak hairanlah kerajaan beliau tidak berjaya menyelesaikan masalah ekonomi Argentina.
Sekarang in Argentina dipimpin oleh seorang presiden bari bernama Mauricia Macri. Beliau memilih untuk menghormati mekanisma pasaran serta tidak berselindung di belakang maklumat ekonomi yang palsu atau dimanipulasikan. Beliau memilih untuk mengakui bahawa keadaan ekonomi Argentina memamng tenat dan oleh itu memberhentikan polisi kawalan matawang dan menghapuskan subsidi elektrik, air, gas dan pengangkutan. Kesan dari polisi tersebut adalah kenaikan kos kehidupan. Pada bulan Jun 2016, harga barangan meningkat 4.2% dalam masa satu bulan sahaja. Ini bermakna inflasi semakin teruk di Argentina. Dalam erti kata yang lain, keadaan ekonomi Argentina dalam jangka panjang tetap malap.

Apakah pengajaran utama yang dapat dirumuskan dari kisah Argentina?

Pertama ialah jika sistem ekonomi dan kewangan adalah bersandarkan kepada sistem Riba dan industri hutang, maka ekonomi negara lambat laun akan bertambah teruk dan rakyat akan sengsara walaupun negara mempunyai banyak hasil mahsul dan tenaga kerja yang mahir dan berpendidikan.

Kedua, jika negara ditadbir oleh pemimpin yang tidak amanah dan tidak telus, beramal dengan rasuah dan gemar memanipulasi fakta untuk tujuan politik, keadaan akan bertambah teruk.

Ketiga, rampasan kuasa oleh tentera atau apa-apa langkah yang tidak demokratik bukan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan akan membuka ruang kepada kezaliman yang membuat rakyat lebih sengsara.

Akhir sekali, jika negara berjaya dalam arena sukan, rakyat mungkin akan lebih senang disibukkan dengan isu sukan, dan oleh itu lebih mudah untuk dimanipulasikan oleh pemimpin yang korup atau tidak bertanggungjawab. Kebanggaan dengan kejayaan sukan membuat mereka lupa tentang isu-isu politik dan ekonomi yang lebih penting.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *